Sunday, March 23, 2014

REALITI KEHIDUPAN YANG SIBUK

Bismillah walhamdulillah…
Syukur masih lagi diberi nikmat iman dan islam sehingga ke hari ini.
Semoga ianya berkekalan malah sentiasa bertambah demi menuju redhaNYA…

Bermula Januari, awal Tahun 2014, Alhamdulillah, telah sebulan lebih menggalas tanggungjawab baru di tempat baru. Kalau dulu menjadi seorang ustazah di sebuah Pusat Al-Quran & Fardhu Ain Al-Muqoddasah. Subhanallah, terasa sungguh mulia dipanggil gelaran seorang ustazah. Ustazah yang mengajar Al-Quran, walau hakikat ilmu tidak setinggi ustazah sebenar. Semuanya kini tinggal kenangan. Hanya beberapa bulan mengutip pengalaman dan kenangan di sana.


Sekarang, menjadi orang biasa-biasa sahaja. Bekerja di sebuah syarikat kontraktor di area Gombak. Keluar pagi, balik petang seperti insan-insan lain yang sibuk mencari rezeki di Kota Metropolitan ni. Namun, syukurku tidak akan pudar selagi kita faham ketentuan yang diaturkan oleh Allah adalah terbaik buat kita. Berada di posisi baru di tempat baru, bukanlah hanya mencari rezeki semata-mata, namun diusia sekarang pengalaman dan ilmu menjadi keutamaan. Campaklah ke mana sahaja, ilmu dan pengalaman juga menjadi taruhan selagi nyawa di kandung badan mengikut kemampuan setakat ini. Diikutkan hati ingin menyebar kesedaran Islam dari sekecil-kecil perkara kepada orang sekeliling, namun, masih belum cukup kuat. Walaupun demikian, tetap mencuba unuk sebarkannya melalui akhlak yang telah diajar oleh Islam, hormat-menghormati antara satu sama lain, bertolak ansur, dan masih terjaga aurat walau dimana sahaja berada. Moga bagi yang melihat, Allah akan jentik hati orang-orang sekeliling untuk menjadi lebih baik dari diri yang hina ni.


Rutin harian di tempat baru menuntut sedikit pengorbanan, memandangkan tinggal sebumbung dengan kakak dan suaminya serta tiga heronya yang sedang aktif membesar. Hanya sekadar pengorbanan kecil membantu meringankan bebannya. Setiap hari seawal 7.15 pagi akan keluar rumah untuk menghantar anak buah yang sulung, darjah satu ke sekolah agama. Seawal pagi  ini jugalah warga kota semuanya akan sibuk untuk ke kerja, untuk menghantar anak ke sekolah, untuk berniaga dan sebagainya. Jalan raya sentiasa sibuk dan sesak walau seawal pagi.




Begitulah manusia, sentiasa sibuk. Kalau dulu, sibuk bersekolah. Dari pagi hingga ke petang. Kemudian masuk universiti. Pun sibuk jugak. Dari pagi hingga ke lewat malam hingga ke pagi kerana sibuk dengan assignment, final year project, group discussion dll. Sekarang pula, sibuk dengan kerja, sehingga jalan raya turut sibuk mengikut fitrah manusia. Namun sedarkah kita, adakah kita sibuk melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan sunat serta sibukkah kita dengan amalan-amalan dalam meraih redhoNYA??? Gosok dada, tanya la hati. Jika ya, mohonlah padaNYA supaya istiqomah, jika tidak, mohon jualah padaNYA agar kita masih belum terlambat menyedarinya dan melaksanakannya supaya tergolong dalam golongan khalifah Allah yang bertanggungjawab terhadap diri kita sepanjang usia yang masih berbaki ni… aminnn….


"Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman dan bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta-minta harta-hartamu"
~ Surah Muhammad; ayat 36 ~


**sebenarnya sekarang dh masuk 3 bulan dah bekerja sebagai pembantu di unit kewangan di syarikat kontraktor di sekitar gombak ni. Hampir 3 bulan jugak entri ni ditulis dan hanya disimpan di desktop lappy je. Lambat post sebab kekangan line internet. Harapnya sedikit isi yg bermanfaat daripada entri  ini tidak basi. Insyaallah... 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...